Tuesday, October 28, 2008

Pelihara martabat bahasa kebangsaan

Minda aktif tertarik dengan saranan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan. ambillah dari sudut positif dan wajarkan penggunaan bahasa kebangsaan ini. Jangan mudah menjulang tinggi bahasa asing.


HAKIKAT bahawa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub dalam Perlembagaan memang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak sekali pun.
Sebagai bahasa kebangsaan, penggunaan bahasa Malaysia amat dimartabatkan bukan sekadar di peringkat persekolahan malah diusahakan sehingga ke peringkat korporat dan perundangan.
Namun di sebalik usaha bersungguh-sungguh di pihak kerajaan untuk meletakkan bahasa Melayu di tempat yang sepatutnya, ada sahaja cubaan untuk menyanggah, kononnya bahasa lain perlu untuk memberi kefahaman kepada penduduk majoriti di sesuatu kawasan.


Hakikatnya alasan seumpama itu amat menyedihkan dan memalukan. Selepas 51 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan ada lagi kalangan rakyat negara ini yang tidak mahir berbahasa kebangsaan sehingga ke peringkat tidak tahu membaca nama jalan.
Di mana silapnya dasar kita sehingga masih ada kepercayaan sedemikian rupa atau pun terlalu rendahkah nilai bahasa Melayu untuk muncul sebagai bahasa kebangsaan di negara yang majoriti penduduknya berbangsa Melayu?


Apabila bercakap tentang perjuangan hak asasi manusia kita amat berkiblatkan negara-negara maju. Begitu juga apabila melahirkan kekaguman terhadap penguasaan ilmu, kita begitu terpegun dengan negara seperti Jepun. Malangnya apabila bercakap mengenai bahasa, kita lupa bumi yang dipijak serta langit yang dijunjung.
Sebaliknya kita mengutamakan kepentingan serta agenda yang tidak diketahui apa matlamat sebenarnya. Seolah-olah ada kalangan rakyat Malaysia yang keliru akan jati diri serta perkara-perkara yang perlu diberi keutamaan selaras dengan semangat yang telah dipersetujui sejak 51 tahun lalu.


Kekeliruan itu semakin terserlah jika dilihat daripada tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan permohonan Majlis Perbandaran negeri itu untuk memasang tanda nama jalan dalam tulisan jawi, Tamil dan Cina bagi tujuan warisan di jalan-jalan tertentu di Georgetown.
Biar pun Perlembagaan tidak menetapkan hukuman kepada mana-mana pihak yang gagal menjunjung semangat yang terkandung dalamnya, namun tindakan seumpama itu jelas menunjukkan bahawa rasa tidak hormat terhadap kitab utama negara kita.
Adakah setiap peruntukan yang digubal mesti ada klausa hukuman baru pihak-pihak yang berkenaan ingin menunjukkan kepatuhan?


Mengapa kita tidak menoleh kepada Perancis untuk dijadikan contoh terbaik bagaimana satu bahasa mampu menyatukan berpuluh bangsa. Mengapa kejayaan Perancis meneruskan kehebatan tamadunnya menggunakan bahasa kebangsaan yang tidak dirojak dengan bahasa-bahasa lain penduduk di situ langsung tidak dicemburui oleh rakyat pelbagai kaum di negara kita.


Kita tidak tahu bila masyarakat majmuk di Malaysia akan membuka mata, yang pasti tugas memartabatkan bahasa Melayu adalah tanggungjawab semua dan bahasa kebangsaan bukan sekadar perhiasan Perlembagaan.

(Utusan Malaysia 28 Okt 2008)

Thursday, October 23, 2008

Kenapa Hindraf terus diberi muka?

Minda Aktif amat menyokong tindakan mengharamkan HINDRAF (Hindu Rights Action Force), cuma kerajaan perlu bertindak dengan lebih agresif lagi. Langkah yang telah kerajaan ambil keatas pertubuhan haram Al-Arqam wajar dijadikan contoh.

Apa yang membeza kan dia dengan al-Arqam, adakah melibatkan unsur-unsur politik. Jika ada wajib ditangani dengan segera kerana ini banyak pihak mengambil kesempatan dengan isu ini.


Jangan nanti berlaku gejala tidak sihat seperti gerakan berani mati yang meletakkan bom pada badan yang pasti akan membuat huru-hara negara Malaysia tercinta ini

sama-sama kita renungkan ...

Kenapa Hindraf terus diberi muka?
Oleh Zulkiflee Bakar
PADA 15 Oktober lalu, kerajaan mewartakan Hindu Rights Action Force (Hindraf) sebagai sebuah pertubuhan haram - satu tindakan yang menetapkan penglibatan sesiapa juga dalam pertubuhan itu merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang.
Berikutan keputusan itu Hindraf diletakkan sebaris dengan pertubuhan yang pernah diwartakan haram iaitu Parti Komunis Malaya (PKM), Nasrulhaq, Al-Maunah dan Al-Arqam.
Sehari selepas itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula menegaskan bahawa polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Hindraf jika ia masih menjalankan aktiviti selepas diwartakan sebagai sebuah pertubuhan haram.
Namun begitu apa yang berlaku semalam di pekarangan Parlimen yang menyaksikan sekumpulan penyokong pertubuhan haram itu berhimpun telah menimbulkan persoalan kenapa tindakan tidak diambil ke atas mereka.
Bukan sahaja dibenarkan berhimpun, malah mereka boleh masuk ke bangunan Parlimen.
Ini kerana Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar sudah menegaskan, sesiapa juga yang terlibat dengan pertubuhan berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Tetapi malangnya semalam mereka berkumpul seolah-olah mereka bukanlah sebuah pertubuhan haram dan membuat tuntutan mendesak kerajaan mengembalikan pasport antarabangsa milik Pengerusinya, P. Waytha Moorthy.
Bayangkanlah apa yang akan berlaku seandainya yang berkumpul tersebut ialah anggota-anggota Al-Arqam yang pernah diharamkan oleh kerajaan suatu ketika dulu.
Sebaik Al-Arqam diharamkan, pihak berkuasa melakukan pemantauan rapi dan mereka yang terlibat dalam apa juga bentuk perhimpunan pasti akan meringkuk dalam lokap. Bukan sahaja orang dewasa, kanak-kanak turut diangkut sekali oleh pihak polis dan sama-sama disumbatkan ke dalam lokap bersama ibu bapa mereka.
Justeru dalam soal ini, kerajaan dan pihak berkuasa harus tegas serta tidak terlalu berlembut atau memberi muka kepada Hindraf.
Ini kerana pewartaan Hindraf sebagai sebuah pertubuhan haram tidak seharusnya menjadi sekadar satu rekod pentadbiran negara atau untuk memberi amaran semata-mata.
Sebaliknya, ia harus disusuli dengan tindakan tegas supaya orang ramai memahami bahawa Hindraf adalah benar-benar sebuah pertubuhan haram dan tidak boleh aktif sama sekali, bukannya diharamkan di atas kertas sahaja.
Apa yang dilakukan oleh penyokong-penyokong Hindraf semalam jelas menunjukkan mereka seolah-olah cuba mencabar pihak berkuasa.
Mereka tahu bahawa pertubuhan itu diharamkan dan mengerti apa yang mereka lakukan melanggar undang-undang tetapi mereka lakukan juga.
Ini semua terjadi kerana ada parti politik yang masih terus membela biarpun aktiviti Hindraf seperti mana kata Syed Hamid boleh mencetuskan kebangkitan penentangan sebahagian rakyat keturunan India terhadap kerajaan serta menimbulkan kebencian di antara orang Melayu dan India di negara ini.
Oleh itu apa istimewanya penyokong-penyokong Hindraf ini sehinggakan mereka berkumpul secara terbuka di pekarangan Parlimen pun masih belum ada tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa?
Kalau kita masih ingat pada tahun 1994, apabila Al-Arqam diharamkan bukan sahaja semua markas pertubuhan itu diserbu oleh polis dan aset mereka dirampas, malah kita menyaksikan bagaimana berbondong-bondong pengikut Al-Arqam 'diangkut' ke dalam trak polis tanpa mengira siang dan malam.
Mereka dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan dan ada pula yang dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai tuduhan.
Malah tindakan terhadap pengikut Al-Arqam itu berterusan hingga hari ini di mana koperasi Rufaqa dan ahli-ahlinya yang dikatakan tunas pertubuhan haram turut dikenakan tindakan undang-undang. Oleh itu kenapa Hindraf tidak diberi layanan yang sama?
Atas nama keadilan dan kesamarataan, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas ke atas Hindraf kerana ia tidak harus dilihat seolah-olah mempunyai keistimewaan kerana masih bebas bergerak dan melakukan apa sahaja biarpun ia sudah diwartakan secara rasmi sebagai pertubuhan haram.
Apa yang dibimbangkan jika pihak berkuasa terus berlembut, penyokong-penyokong Hindraf akan terus aktif dan sama sekali tidak akan mempedulikan pewartaan terhadap pengharaman mereka.
Oleh itu sebelum kumpulan tersebut menjadi 'besar kepala' bertindaklah segera. Kita yakin sebahagian besar masyarakat India akan menyokong tindakan tegas kerajaan kerana mereka cintakan kedamaian dalam negara pelbagai kaum ini.


(Utusan Malaysia 23 Okt 2008)

Wednesday, October 22, 2008

Ancaman Dalaman Perlu dipandang serius

Minda aktif amat setuju dengan artikel dibawah yang menyatakan bahasan ancaman dalaman sesebuah negara perlu ditangani dengan serius. Ini langkah yang amat perlu disegerakan .Memandangkan sejak akhir-akhir ini banyak isu sudah dalam keadaan parah baru proses langkah menagani dilaksanakan.

Teringat kata-kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Syed Hamid Albar mengenai ISA, "Pendekatan mencegah sebelum merawat terbaik kekal keharmonian rakyat"( Berita Minggu 21 Sept 2008)

Kita perlu ambil iktibar dengan kejadian-kejadian yang berlaku di negara luar seperti Pakistan ,Indonesia yang berlaku huru-hara akibat dari tiada wujud akta seperti ISA ini.

Sekadar berkongsi maklumat dan mengaktifkan MINDA anda ,petikan akbar Utusan Malaysia 22 Okt 2008:

Pandang serius ancaman dalaman

pada hakikatnya, sebelum merdeka dan selepas merdeka hinggalah ke hari ini, pelbagai bentuk ancaman telah dilalui pasukan keselamatan kita. Namun, ancaman sebenar ialah yang datang atau diwujudkan oleh pihak tertentu dari dalam negara sendiri.

Mungkin perkara ini kita tidak perasan, tetapi hakikatnya ancaman dari dalam telah wujud silih berganti. Ancaman dalaman boleh dikategorikan secara meluas sama ada yang berbentuk agresif, bersifat kritikan tidak membina, berniat jahat, menyentuh perasaan kaum lain, menyentuh sentimen agama dan banyak lagi.

Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Salleh Ismail berkata, ancaman dalaman sentiasa silih berganti dan boleh wujud dalam pelbagai bentuk. "Isu-isu semasa yang menyentuh perasaan kaum dan agama, isu politik semasa dan banyak lagi, semua ini boleh dianggap sebagai ancaman dalaman.

"Jika ancaman-ancaman dalaman ini berterusan berlaku, ia boleh menyebabkan ketidakstabilan negara. Sudah tiba masanya rakyat sedar dan menolak bentuk-bentuk ancaman dalaman ini kerana ia sebenarnya memusnahkan erti kemerdekaan dan keharmonian yang telah sekian lama wujud di negara ini," katanya.

Ancaman-ancaman dalaman boleh wujud melalui tindakan provokatif, menyentuh sentimen kaum, kritikan ahli politik dengan agenda tersembunyi, tuntutan melampau pihak tertentu, rusuhan dan kekacauan jalanan.

Yang pasti, apa jua bentuk tindakan menyalahi undang-undang dan menggugat keselamatan boleh dianggap sebagai ancaman. Ini kerana semua itu sebenarnya bukan cara penyelesaian terbaik yang mengikut undang-undang sebaliknya lebih kepada mewujudkan ketidakstabilan.

Dalam hal ini, kita seharusnya memahami apa sebenarnya maksud kebebasan bersuara. Dalam negara Malaysia yang majmuk ini, kebebasan bersuara tidaklah boleh disamakan dengan kebebasan tanpa batas yang diamalkan oleh negara-negara Barat.

Memang benar kita boleh bersuara tetapi hendaklah secara berhemah, tidak menyentuh sentimen agama dan kaum lain. Keadaan dan perkembangan tidak sihat ini seharusnya dihentikan. Untuk itu, mana-mana ancaman dalaman hendaklah disekat dan ditangani dengan tegas oleh pihak berkuasa.

Mohd. Salleh berkata, kebebasan tanpa batasan yang membawa kepada ancaman dalaman.

"Jika keadaan sudah tidak dapat dikawal ekoran ancaman dalaman, memang sukar untuk kita wujudkan semula keselamatan.

"Bila ini berlaku, kita kena bermula dari awal seperti mahu mewujudkan satu kemerdekaan baru untuk mengembalikan keyakinan semua kaum dan mewujudkan keharmonian," katanya.


Tuesday, October 21, 2008

Wacana Minda Aktif :Sejauh Mana Batasan Kebebasan Media Siber

Minda Aktif hairan bagaimana portal berita Tersohor http://www.malaysiakini.com/ dapat menyiarkan satu berita palsu tentang Timbalan Perdana Menteri (TPM),tiada sekatan atau tapisan tertentu? ada wujudnya komplot untuk menjatuhkan TPM

Menarik juga,kononnya satu blog yang terkenal Rockybru juga meyiarkan gambar (http://rockybru.com.my/2008/10/doctored-pictures-to-doctored.html) TPM yang diubah suai sebagai salah satu artikel. Tidakkah wujud rasa hormat terhadap pemimipin negara dikalangan penulis-penulis ini.

Wajarlah pihak kerajaan meneliti setakat mana kebebasan media siber ini, untuk mengelak huru-hara kata PM .

Berikutan dengan isu ini Minda Aktif tertarik membaca berita berikut:

Majlis Media Kebangsaan Dibentuk Tidak Lama Lagi

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Sebuah majlis media kebangsaan akan ditubuhkan tidak lama lagi bagi mengenalpasti kelemahan-kelemahan dalam media, selain mencari jalan bagi menghasilkan pemberitaan tepat, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini.

Beliau berkata idea penubuhan majlis itu telahpun dibawa ke kabinet dan disambut baik.

"Pelbagai aspek perlu dikaji dan satu siri perbincangan sedang berjalan sebelum kita dapat menggubal dasar berkenaan.

"Saya percaya ini adalah platform yang tepat, pada masa yang tepat untuk memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan organisasi media," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kolokium mengenai Dasar Media di Malaysia di sini, Isnin.

Kolokium dua hari itu, anjuran Institut bagi Pembangunan Komunikasi (Aidcom) dan Suruhanjaya Tinggi Kanada bagi membincangkan isu-isu mengenai dasar dan kebebasan media, diikuti oleh 50 peserta.

Syed Hamid berkata penubuhan majlis itu tidak harus dilihat sebagai langkah untuk mempertingkat sekatan ke atas media, oleh kerana masa depan di negara ini ditentukan menerusi usaha kolektif.

"Menjadi tanggungjawab kita untuk menggubal satu dasar media kebangsaan yang mencerminkan identiti, nilai dan kepercayaan kita sebagai warga Malaysia.

"Satu dasar media baru perlu dikemaskini sejajar dengan trend global semasa yang memberi nilai tinggi terhadap liberalisasi dan kemajuan teknologi.

"Kita boleh bincangkan dan kenalpasti reform yang sesuai di samping mustahaknya memperkenalkan majlis media kebangsaan dengan minda terbuka," kata Syed Hamid.

Menyentuh berita ruang siber, Syed Hamid berkata: "Kita tidak boleh lagi mengenalpasti kumpulan ini sebagai media alternatif, memandangkan permintaan bagi berita-berita mereka lebih luas dari media arus perdana.

"Ruang siber adalah platform bebas dan generasi muda lebih menyukai berita online. Malahan, media arus perdana kini turut memfokus kepada memuatkan berita mereka secara online," ujar beliau.

-- BERNAMA

renung-renungkanlah