Monday, August 17, 2009

Pas dan UMNO: Siapa pendaulat Islam?

Pas adalah parti yang melaungkan slogan ke syurga. Inilah parti yang dulu pernah mengkafirkan UMNO kerana berbaik-baik dengan `orang kafir.' Sekarang ini jualah parti yang bukan sahaja berbaik dengan parti orang kafir bernama Democratic Action Party atau DAP, tapi sanggup ditempelak, dipijak dan dihina oleh rakan barunya itu.

(www.malaysiaaktif.com)

MAULANA ARRIF
17 Ogos 2009

Setelah begitu lama berada di atas takhta kuasa, UMNO mengakui ada kesilapan dan kelemahannya. Yang lebih penting ia sedia mendengar teguran dan kritikan, serta berusaha memperbaiki diri.

Tapi ada juga parti hampir seusia UMNO yang tidak pernah mengakui sebarang kesilapan atau kelemahan. Mengambil cakap pemimpin paling veterannya iaitu Nik Abdul Aziz, Pas seolah-olah tidak pernah melakukan kesilapan. Maksumnya!

Pas adalah parti yang melaungkan slogan ke syurga. Inilah parti yang dulu pernah mengkafirkan UMNO kerana berbaik-baik dengan `orang kafir.' Sekarang ini jualah parti yang bukan sahaja berbaik dengan parti orang kafir bernama Democratic Action Party atau DAP, tapi sanggup ditempelak, dipijak dan dihina oleh rakan barunya itu.

Anehnya Nik Aziz yang sudah dianggap maksum oleh ramai ahli Pas, sanggup mempertahankan DAP yang menyerang Islam.

Kata Nik Aziz, tidak mengapalah kerana mereka bukan Islam dan tidak memahami ajaran Islam.

Yang Nik Aziz marah sangat ialah ``orang Islam yang menolak hukum Islam.'' Tanpa perlu berfikir panjang, kita tahu celaannya itu dituju kepada UMNO yang menjadi musuh politik ketatnya semata-mata kerana menggunakan pendekatan yang berbeza dalam mendaulatkan Islam di Malaysia.

Tetapi sekarang apa bezanya pendekatan Pas dan UMNO? Jawapannya sangat berbeza.

UMNO sejak dulu bermuafakat dengan parti MCA dan MIC yang tidak pernah kita dengar secara terbuka menyerang Islam. Apa yang UMNO buat dalam mendaulatkan Islam di Malaysia tidak ditentang oleh MCA dan MIC. Jika kita senaraikan apa yang UMNO buat untuk mendaulatkan Islam di negara memang cukup banyak.

Melalui perlembagaan Islam dijadikan agama rasmi. Di setiap negeri ada Majlis Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Agama Islam, Baitulmal dan jawatan mufti serta kadi. UMNO juga memastikan masjid dibina di peringkat setiap negeri, daerah dan mukim. Dari segi muamalat, kerajaan pimpinan UMNO juga telah mewujudkan Tabung Haji dan perbankan Islam.

Bagi menilai apa yang telah UMNO lakukan, kita boleh bandingkan dengan lain-lain negeri yang penduduk majoritinya adalah Muslim. Tidak usah pergi jauh, tinjau sahajalah negara rakan yang paling hampir iaitu Indonesia, negara yang lebih 90 peratus penduduknya secara rasmi diwartakan bergama Islam. Adakah Indonesia mempunyai struktur pentabiran agama Islam dan kemudahan mumalat seperti yang ada di Malaysia? Jawabnya ialah tidak.

Kenapa Malaysia boleh melakukan banyak perkara yang akhirnya menjadi model kepada negara dan masyarakat Islam di lain-lain negara. Jawapannya ialah kerana Malaysia diperintah oleh Barisan Nasional yang ditunjuangi UMNO. Parti-parti bukan Islam yang menganggotai BN menghormati UMNO kerana cara ia mendaulatkan Islam tidak mengancam agama-agama lain dan penganut-penganut agama lain.

Hakikat ini akhirnya disedari oleh Pas. Para pemimpinnya seperti Nik Aziz dan Hadi Awang sedar bahawa parti mereka tidak akan ke mana-mana selagi mereka tidak bekerjasama dengan bukan Islam untuk berkongsi kuasa politik dan kuasa mentadbir negara.

Lalu mereka membentuk pakatan pembangkang bersama DAP dan PKR. Pada pilihan raya umum 2008, mereka berjaya membentuk kerajaan negeri Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Perak selain Kedah. Di Perak, Pas sanggup menjadi boneka kepada DAP setelah diberikan jawatan Menteri Besar buat seketika sebelum ditadbir semula oleh BN.

Di Kedah pula Pas yang mengetuai pentadbiran telah diugut oleh DAP berhubung isu pusat lapah babi. Di Pulau Pinang, wakil tunggal Pas dilayan seperti melukut di tepi gantang.

Di Selangor pula Pas telah diperlekeh berhubung isu kedai Seven Eleven menjual arak di kawasan majoriti Islam. Pas membantah termasuk mendesak kerajaan negeri memecat Ronnie Liu, anggota exco kerajaan negeri dari DAP yang mempertahankan penjualan arak di kawasan Islam. Tapi bantahan Pas tidak dilayan oleh Menteri Besar Khalid Ibrahim yang juga Naib Presiden PKR.

Sebaliknya Pas dan Islam diperlekeh olah beberapa orang pemimpin DAP. Apakah sikap dan reaksi Pas terhadap celaan daripada rakan-rakan mereka dalam pakatan pembangkang itu?

Kebanyakan pemimpin Pas nasional membisu apabila pemimpin Pas Selangor, Hassan Ali diperlekeh oleh kerajaan negeri Selangor yang juga diketuai oleh seorang Islam.

Hanya Nik Aziz yang kedengaran bersuara. Tapi suaranya bukan lagi suara seorang pejuang Islam.

Lebih kurang, kata Nik Aziz, tidak mengapalah mereka menghina Islam kerana mereka bukan orang Islam. Bunyi cakapnya adalah semacam dengan anjing bercawat ekor. Dalam bahasa Inggeris suara Nik Aziz adalah suara defeatist atau orang yang mengaku kalah.

Dengan UMNO bukan main berbisa mulut Nik Aziz, tapi dengan DAP yang memusuhi Islam beliau tunduk bagaikan seorang suami yang sudah termakan `nasi tangas' atau `nasi kangkang.'

Dan apa lebih atau kurangnya pemimpin-pemimpin Melayu dalam PKR seperti Anwar Ibrahim (menghadapi tuduhan meliwat) dan Khalid Ibrahim (mempertahan Ronnie dan membenarkan arak dijual di kawasan Islam di Selangor) sebagai orang Islam berbanding para pemimpin UMNO yang telah mendaulatkan Islam di Malaysia dengan pendekatan yang sederhana dan tidak mengancam penganut lain-lain agama.

Wahai orang-orang Melayu dan orang-orang Islam Malaysia, fikir-fikirkanlah dengan waras. Jangan mudah dibuai emosi dan dijolok oleh bisikan syaitan. Janganlah heret negara yang kita cintai ini ke kancah kebinasaan. - malaysiaaktif.com

Sunday, August 9, 2009

Anwar pengkhianat: Mari menari rentak Anwar

Anwar juga mengkhianati orang Melayu apabila dia mencemuh DEB yang suatu masa dulu menjadi slogan perjuangan politiknya. Tapi oleh kerana mahu mendapatkan sokongan bukan Melayu untuk PKR dan pakatan pembangkang, dia sanggup mengkhianati orang Melayu yang merupakan rakyat majoriti negara ini.


Petikan dari http://www.malaysiaaktif.com/


MAULANA ARRIF
9 Ogos 2009

Ayuh, mari kita menari rentak tarian politik Anwar Ibrahim.

Ya, bagaimana rentak tarian politik Anwar?

Tarian politik kegmarannya ialah demonstrasi. Ayuh kita ramai-ramai berdemonstrasi.

Di Padang Merdeka Batu Pahat akan diadakan demonstrasi terhadap Anwar, kata Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Adam Abdul Hamid. Tema demonstrasi itu ialah ``Anwar pengkhianat!''.

Bagaimana di lain-lain tempat? Janganlah UMNO sahaja yang jadi penganjur. Banyak NGO Melayu yang juga berhak menganjurkan demontrasi terhadap `pengkhianat orang Melayu' ini. Lagipun, bukan orang UMNO sahaja yang meluat dngan gelagat Anwar.

Orang-orang Pas juga ramai yang naik meluat dengan Anwar. Cuma mereka ini tidak meluahkan perasaan kerana Tok Guru Nik Aziz masih menyayangi Anwar. entah kenapa Nik Aziz sayangkan Anwar. Barangkali beliau sudah dipukau oleh Husam Musa, orang kanan politiknya yang sangat rapat dengan Anwar. Atau hati Tok Guru sudah kelabu kerana selalu sangat mencaci UMNO.

(Kata para aulia, kalau kita selalu mencaci orang lain, hati kita akan jadi kelabu.)

Kepada sesiapa yang rapat dengan Tok Guru, tolong nasihatkan beliau supaya berjumpa dengan Tun Mahathir yang boleh memberikan seribu fakta mengenai kenapa manusia yang bernama Anwar anak Ibrahim ini tidak boleh dipercayai. Dalam politik, Mahathir lebih mengenali Anwar daripada orang-orang lain di atas muka bumi ini.

Sayangnya Mahathir mengambil masa terlalu lama untuk mengenali Anwar. Ketika hampir hendak dijatuhkan oleh Anwar, barulah beliau sedar siapa Anwar. Anwar pengkhianat dan terus Mahathir membuangnya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, kabinet dan UMNO.

Dalam bab lain mungkin ramai yang lebih tahu tentang Anwar, termasuk bekas pembantunya yang bernama Mohd Saiful.

Maka apa yang tidak betul apabila Muhyiddin Yassin melabelkan Anwar seorang pengkhianat? Dia pernah mengkhianati Mahathir.

Anwar juga mengkhianati orang Melayu apabila dia mencemuh DEB yang suatu masa dulu menjadi slogan perjuangan politiknya. Tapi oleh kerana mahu mendapatkan sokongan bukan Melayu untuk PKR dan pakatan pembangkang, dia sanggup mengkhianati orang Melayu yang merupakan rakyat majoriti negara ini.

Anwar juga menonjolkan dirinya sebagai bapa penentang kronisme. Tetapi semasa jadi Timbalan Perdana Menteri dan Mentri Kewangan dulu, dialah yang paling banyak memberikan projek kepada kroninya.

Jika anda masih ingat, pada satu Perhimpunan Agung UMNO (pada 1996 atau 1997), Mahathir telah mengluarkan satu senarai yang mengandungi nama-nama syarikat, kontraktor dan pengusaha bumiputera yang mendapat projek kerajaan. Pada masa itu Anwar sedang melancarkan kempen membunuh karakter Mahathir dengan niat untuk menjatuhkannya. Ketua Pemuda UMNO Malaysia ketika itu, Zahid Hamidi telah diperkudakan untuk melaungkan grakan antikronisme. Kononnya Mahathir bapa kronisme.

Rupa-rupannya gerakan tersebut memakan diri Anwar sendiri. Senarai kontraktor dan pengusaha yang mendapat projek kerajaan itu menunjukkan bahawa nama kroni Anwar yang paling ramai.

Barangkali dua bekas ketua pengarang akhbar berbahasa Melayu, Johan Jaffar (Utusan) dan Nazri Abdullah (Berita Harian) lebih tahu tentang sifat kronisme Anwar. Mereka ini dulu rapat dengan Anwar. Tanyalah mereka, jika mereka mahu bercerita.

Kesimpulan cerita, memang sahih lagi nyata bahawa Anwar anak Ibrahim adalah seorang pengkhianat sebagaimana kata Muhyiddin.

Menutup cerita, memang wajar UMNO Bahagian Pulai menganjurkan `demonstrasi Anwar pengkhianat.' Malah lebih wajar jika lebih banyak demonstrasi itu diadakan di seluruh negara. Biar boleh berjuta-juta orang Melayu yang sudah muak dengan gelagat khianat Anwar menyuarakan rasa meluat mereka. Berikanlah isyarat yang jelas kepada Anwar dan pengkhianat-pengkhianat Melayu di sekelilingnya.

Kepada semua pemblog yang meluat dengan Anwar, marilah kita canangkan kemepn demonstarasi `Anwar pengkhianat' scara besar-besaran. Biar Anwar merasai sendiri penangan rentak tari politik yang selalu didalanginya.

Jika Anwar hendak saman, janganlah saman Muhyiddin seorang. Kelak samanlah berjuta-juta orang orang Melayu. - malaysiaaktif.com