Wednesday, October 22, 2008

Ancaman Dalaman Perlu dipandang serius

Minda aktif amat setuju dengan artikel dibawah yang menyatakan bahasan ancaman dalaman sesebuah negara perlu ditangani dengan serius. Ini langkah yang amat perlu disegerakan .Memandangkan sejak akhir-akhir ini banyak isu sudah dalam keadaan parah baru proses langkah menagani dilaksanakan.

Teringat kata-kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Syed Hamid Albar mengenai ISA, "Pendekatan mencegah sebelum merawat terbaik kekal keharmonian rakyat"( Berita Minggu 21 Sept 2008)

Kita perlu ambil iktibar dengan kejadian-kejadian yang berlaku di negara luar seperti Pakistan ,Indonesia yang berlaku huru-hara akibat dari tiada wujud akta seperti ISA ini.

Sekadar berkongsi maklumat dan mengaktifkan MINDA anda ,petikan akbar Utusan Malaysia 22 Okt 2008:

Pandang serius ancaman dalaman

pada hakikatnya, sebelum merdeka dan selepas merdeka hinggalah ke hari ini, pelbagai bentuk ancaman telah dilalui pasukan keselamatan kita. Namun, ancaman sebenar ialah yang datang atau diwujudkan oleh pihak tertentu dari dalam negara sendiri.

Mungkin perkara ini kita tidak perasan, tetapi hakikatnya ancaman dari dalam telah wujud silih berganti. Ancaman dalaman boleh dikategorikan secara meluas sama ada yang berbentuk agresif, bersifat kritikan tidak membina, berniat jahat, menyentuh perasaan kaum lain, menyentuh sentimen agama dan banyak lagi.

Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Salleh Ismail berkata, ancaman dalaman sentiasa silih berganti dan boleh wujud dalam pelbagai bentuk. "Isu-isu semasa yang menyentuh perasaan kaum dan agama, isu politik semasa dan banyak lagi, semua ini boleh dianggap sebagai ancaman dalaman.

"Jika ancaman-ancaman dalaman ini berterusan berlaku, ia boleh menyebabkan ketidakstabilan negara. Sudah tiba masanya rakyat sedar dan menolak bentuk-bentuk ancaman dalaman ini kerana ia sebenarnya memusnahkan erti kemerdekaan dan keharmonian yang telah sekian lama wujud di negara ini," katanya.

Ancaman-ancaman dalaman boleh wujud melalui tindakan provokatif, menyentuh sentimen kaum, kritikan ahli politik dengan agenda tersembunyi, tuntutan melampau pihak tertentu, rusuhan dan kekacauan jalanan.

Yang pasti, apa jua bentuk tindakan menyalahi undang-undang dan menggugat keselamatan boleh dianggap sebagai ancaman. Ini kerana semua itu sebenarnya bukan cara penyelesaian terbaik yang mengikut undang-undang sebaliknya lebih kepada mewujudkan ketidakstabilan.

Dalam hal ini, kita seharusnya memahami apa sebenarnya maksud kebebasan bersuara. Dalam negara Malaysia yang majmuk ini, kebebasan bersuara tidaklah boleh disamakan dengan kebebasan tanpa batas yang diamalkan oleh negara-negara Barat.

Memang benar kita boleh bersuara tetapi hendaklah secara berhemah, tidak menyentuh sentimen agama dan kaum lain. Keadaan dan perkembangan tidak sihat ini seharusnya dihentikan. Untuk itu, mana-mana ancaman dalaman hendaklah disekat dan ditangani dengan tegas oleh pihak berkuasa.

Mohd. Salleh berkata, kebebasan tanpa batasan yang membawa kepada ancaman dalaman.

"Jika keadaan sudah tidak dapat dikawal ekoran ancaman dalaman, memang sukar untuk kita wujudkan semula keselamatan.

"Bila ini berlaku, kita kena bermula dari awal seperti mahu mewujudkan satu kemerdekaan baru untuk mengembalikan keyakinan semua kaum dan mewujudkan keharmonian," katanya.


No comments: