Sunday, December 14, 2008

Sikap materialistik di Bukit Antarabangsa



TRAGEDI tanah runtuh di Bukit Antarabangsa telah seminggu berlaku. Setakat waktu ini hanya empat sahaja yang terkorban. Jika anda melihat kemusnahan yang berlaku di Bukit Antarbangsa ini anda tentu tidak menyangka hanya sedikit sahaja yang terkorban berbanding dengan kemusnahan yang begitu dasyat. Di sebalik kemusnahan yang dasyat itu terselindung beberapa misteri dan persoalan yang belum terjawab.





Menurut para petugas penyelamat yang ditubuhkan untuk membantu operasi menyelamat bencana Bukit Antarabangsa, sikap segelintir mangsa bencana alam itu adalah begitu materialistik. Mereka sanggup berbohong atau melaporkan aduan palsu demi untuk menyelamatkan harta benda mereka. Menimbulkan pertanyaan mengapa setelah tiga hari kejadian barulah mereka membuat aduan tentang kehilangan pekerja mereka.

Misalnya, seorang mangsa melaporkan seorang pekerjanya terperangkap dalam timbunan. Lalu dia membawa pasukan penyelamat ke runtuhan ruamhnya di mana operasi mencari dijalankan selama dua hari. Apabila kawasan bilik yang dikatakan tempat pekerjanya terperangkap berjaya dikorek, dia mengambil barang-barangnya dan terus meninggalkan pasukan penyelamat sedangkan mayat yang dicari tidak dijumpai. Apakah dia hanya memperalatkan pasukan penyelamat untuk mendapatkan barang-barang berharganya?

Malah sikap tidak menghormati para petugas juga amat dikesali. Para petugas sanggup mengorbankan cuti mereka demi membantu mangsa-mangsa yang mengalami bencana tetapi sikap mereka tidak dihargai. Mungkin sesetengah mangsa mengalami trauma akibat bencana itu, tetapi mereka harus faham tugas dan beban anggota para penyelamat.
Namun atas semangat kecekalan dan ingin membantu mangsa yang mengalami bencana, mereka meneruskan operasi sehingga mereka benar-benar yakin tiada lagi mangsa dikesan. Walaupun para petugas menyelamat sanggup bertungkus-lumus berkerja dan menggadai nyawa, mereka masih menerima kritikan dan tanggapan yang negatif. Ada yang mengatakan para petugas ini menyelongkar dan mencuri di rumah mereka.



Ada juga dakwaan yang mengatakan petugas sanggup membiarkan mayat mangsa yang terkorban dalam keadaan yang tidak terurus. Sikap manusia yang menyebarkan berita palsu ini amat tidak bertanggungjawap malah sedikit sebanyak mengganggu para petugas operasi menyelamat.

Iktibar perlu diambil daripada kejadian bencana tanah runtuh di Bukit Antarabangsa ini, agar semua pihak harus berkerjasama tanpa mengira ideologi politik masing-masih dan tidak menyalahkan apa yang telah berlaku. Syabas diucapkan kepada para petugas penyelamat, pasukan tentera yang membina jambatan sementara, Bomba dan SMART atas ketangkasan mereka berada di lokasi dalam jangka masa yang pantas, Jabatan Penerangan atas bantuan mereka untuk menyalurkan maklumat terkini melalui siaraya maklumat kepada mangsa yang terputus hubungan dan pasukan polis dalam mengawal keselamatan dan ketenteraman di sekitar kawasan bencana tanah runtuh tersebut.



Apa yang dapat dirumuskan, mangsa-mangsa sepatutnya menghargai apa jua pertolongan yang diberikan dan janganlah kita mementingkan harta semata-mata sehingga sanggup berdusta dan membiarkan orang lain sengsara akibat tingkah-laku mereka.Tiap satu perbuatan yang tidak elok pasti akan pasti mendapat balasan Tuhan nanti.

No comments: