Thursday, December 4, 2008

Kenyataan Mukhriz Wujud Sekolah Satu Aliran Tiada Unsur Perkauman, Kata Hishammuddin

Kenyataan Mukhriz Wujud Sekolah Satu Aliran Tiada Unsur Perkauman, Kata Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kenyataan Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir berhubung sekolah satu aliran telah dipolemikkan dan dikelirukan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Malah kenyataan Exco Pemuda Umno itu langsung tidak ada unsur berbaur perkauman, kata Hishammuddin yang juga Ketua Pemuda Umno pada sidang berita di ruang legar Parlimen di sini hari ini.

" Perkara ini menjadi kekeliruan kerana pihak pembangkang mengaitkannya dengan isu kaum yang telah menimbulkan emosi, dan tiadak ada dikaitkan dengan kaum kerana ia melibatkan empat jenis sekolah dalam satu aliran bantuan kerajaan yang agak unik berbanding negara lain," katanya.

Hishammuddin berkata demikian bagi mengulas saranan Mukhriz Isnin lepas di Dewan Rakyat supaya kerajaan mewujudkan hanya satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan bagi menyatupadukan rakyat dan mengelak polarisasi kaum di negara ini.

"Memang hasrat semua pihak untuk mewujudkan sekolah satu aliran, tetapi nak mempolemik dan mengaitkan dengan perkauman tidak ada asas kerana empat jenis sekolah di bawah bantuan kerajaan ini merangkumi orang Melayu, Cina, Kristian dan India," kata Hishammuddin.

Beliau berkata bagi mewujudkan sekolah satu aliran, ia memerlukan kerajaan mengambil kira semua isu-isu berkaitan termasuk mengambil kira status tanah, kedudukan guru, peruntukan sekolah dan konsensus yang perlu diwujud untuk mengatasi semua isu tersebut.

"Kenyataannya sekolah satu aliran ini telah pun dibincangkan sejak merdeka lagi, ia bukan satu isu yang baru dan secara ideal kita mengharapkan satu sistem untuk memuaskan hati semua pihak," katanya.

Hishammuddin berkara perkara yang perlu menjadi kepentingan pada masa ini adalah untuk memperkasakan sekolah kebangsaan yang merupakan teras ketiga di bawah Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), dan memastikan terdapatnya rangkaian antara dua aliran sekolah, iaitu aliran perdana dan sekolah bantuan kerajaan.

Katanya semangat patriotisme dan toleransi telah disuntik melalui kedua-dua jenis sekolah itu sepertimana yang sedang dilaksanakan di bawah PIPP selain membina sekolah bangsa, melahirkan modal insan, dan seterusnya sekolah aliran berkenaan tidak dilihat dalam satu kaum sahaja.

"Dalam keadaan ekonomi dunia kini, kalau (ada isu yang) kita tidak ditangani dengan baik jangan harap kita dapat mempertahankan apa jua sekolah yang ada, dan ini merupakan tugas bersama untuk menanganinya termasuk pembangkang dan juga kerajaan, Umno dan parti komponen BN yang lain," katanya.

Hishammuddin berkata jumlah sekolah yang terdapat di negara mengikut jenis ialah Sekolah Kebangsaan 5,831 buah, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (889 buah), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (374), Sekolah Mubaligh (410) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (154).

Menyentuh mengenai pertandingan untuk merebut jawatan tertinggi dalam pergerakan Pemuda Umno, Hishammuddin berkata calon yang layak untuk bertanding perlu mengamalkan budaya kempen yang sihat dan mengelakkan daripada terlibat dengan politik wang, kutuk mengutuk dan mengaibkan saingan mereka dalam merebut jawatan dalam parti.

Beliau berkata tidak berbaloi untuk mengejar jawatan dengan mengamalkan budaya tidak sihat ini kerana apabila mereka menang ini akan menghantui diri sendiri kerana pemimpin Pemuda harus beridentiti bersih dan lebih putih daripada yang lain.

"Calon yang mengamalkan cara pertandingan yang sihat akan dinilai oleh anggota parti dan seterusnya Pemuda dilihat sebagai sayap kanan parti Umno yang boleh disanjungi dan dihormati oleh kawan dan lawan," katanya.

Hishammuddin berkata pergerakan itu sedang sedang menyelesaikan masalah dan rayuan yang dibangkit oleh anggotanya, dan mensasarkan akan dapat diselesaikan sebelum pemilihan parti Mac ini.

-- BERNAMA

No comments: