Sunday, April 19, 2009

Pilihan Raya Kecil DUN Penanti Sekadar Raih Populariti

Minda amat tertarik dengan artikel yang disiarkan oleh Bernama (artikel penuh dibawah) menghuraikan tindakan yang diambil oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekadar untuk popular. Malah dengan huraian lanjut kita dapat lihat gabungan PKR dan DAP mulai renggang . Melihat suasana ini tidak hairan la jika nanti kita akan lihat gabungan ini akan musnah. Apa yang amat menduka cita ialah pegundi dan orang ramai seolah-olah tertipu dengan mainan politik PKR. Betullah kata penulis dengan situasi ekonomi yang tidak menentu baik kita tumpukan kearah pemulihan ekonomi berbanding dengan bicara politik yang hanya menguntungkan satu pihak sahaja...renung-renungkanlah

Pilihan Raya Kecil DUN Penanti Sekadar Raih Populariti

Oleh Zuraida Abdul Rahman
Bernama
19 April 2009

PULAU PINANG, -- Belum pun sampai setahun penduduk kawasan Parlimen Permatang Pauh melalui proses memilih pemimpin baru untuk kali kedua selepas pilihan raya umum 2008 kerana wakil rakyatnya meletakkan jawatan, kini satu lagi pilihan raya kecil terpaksa diadakan di kawasan ini.

Jika Ogos lalu, lebih 58,000 pengundi terganggu kehidupan mereka seketika kerana tindakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kali ini Mohammad Fairus Khairuddin pula mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Penanti merupakan satu daripada tiga kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh, selain Seberang Jaya dan Permatang Pasir.

Pada ketika lebih 15,000 pengundi di kawasan DUN Penanti sedang bergelut menghadapi krisis ekonomi dan berdepan dengan kemungkinan kehilangan pekerjaan, PKR memilih untuk mengadakan pilihan raya kecil sekali lagi hanya untuk meraih populariti terhadap parti itu, kata seorang pemerhati politik.

Banyak pihak berpendapat, adalah lebih baik ketika ini usaha ditumpukan bagi menjana ekonomi bagi membantu rakyat dan sebagai kerajaan yang memerintah Pulau Pinang, gabungan DAP dan PKR harus bertindak bijak dan bukannya mengikut perasaan.

Penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata gabungan pembangkang di Pulau Pinang mempunyai peluang untuk mengelakkan pilihan raya kecil dengan melantik seorang daripada dua wakil rakyat PKR iaitu Abdul Malik Abul Kasim (Batu Maung) atau Maktar Shapee (Sungai Bakap) menggantikan Mohammad Fairus sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 selepas beliau meletakkan jawatan berkuatkuasa 8 April lalu.

Bagaimanapun, katanya harapan Ketua Menteri Lim Guan Eng agar orang kepercayaannya, Abdul Malik dipilih tidak tercapai kerana Anwar mahu menampilkan pengganti yang sekurang-kurangnya setanding dengan Mohammad Fairus daripada segi penampilan dan yang lebih penting berwibawa, tegas dan boleh menjaga kepentingan parti di dalam Kerajaan Negeri.

"Pertelagahan" secara senyap tetapi ketara antara Lim dan Anwar mengenai pengganti Mohammad Fairus dilihat apabila Anwar melambat-lambatkan pengumuman calonnya dan akhirnya pada pagi Khamis lalu, bekas TKM1 itu melepaskan jawatannya sebagai ADUN Penanti, katanya kepada Bernama.

Yang lebih mengejutkan ialah surat peletakan jawatan Mohammad Fairus yang dihantar kepada Speaker DUN, Abdul Halim Hussain tiga hari lalu itu adalah bertarikh 19 Mac iaitu lebih awal daripada pengumuman Lim mengenai peletakan jawatan Mohammad Fairus sebagai TKM1 dan Exco Kerajaan Negeri pada 21 Mac lalu.

"Ini bermakna Anwar sememangnya tahu isi hati dan tindakan yang bakal diambil Mohammad Fairus selama ini dan sengaja membiarkan Lim dan rakyat ternanti-nanti. Anwar cuba membeli masa dengan berbuat demikian," kata penganalisis politik itu lagi.

Tindakan Mohammad Fairus dan Anwar itu juga memberi tanggapan seolah-olah PKR membelakangkan Ketua Menteri kerana sebaik sahaja Lim berangkat ke Singapura, pengumuman mengenai peletakan jawatan itu dibuat.

Mungkin tergamam dengan tindakan rakan-rakannya itu, Lim, yang berada di Singapura tidak mahu mengulas dan hanya akan membuka mulut apabila pulang ke Pulau Pinang.

Bagi Abdul Ghani Haroon, bekas calon Parti Keadilan Nasional (Keadilan) di DUN Pinang Tunggal pada 1999, kenyataan Anwar kononnya Mohammad Fairus akan kekal sebagai ADUN sehingga pilihan raya umum ke-13 hanyalah omong kosong.

"Apa jaminan PKR kepada rakyat bahawa pengganti Mohammad Fairus tidak mengambil tindakan sama iaitu meninggalkan pengundi yang telah memberikan mandat mereka kepadanya hanya kerana kepentingan diri dan parti," kata bekas orang kanan Anwar itu.

Lim, yang melahirkan rasa dukacitanya terhadap kelewatan Anwar menamakan pengganti jawatan TKM1, juga dilihat bertindak "mencantas" antara calon berpotensi PKR untuk jawatan itu, iaitu Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Dr Mansor Othman dengan mencalonkan bekas pensyarah dan bekas pengerusi Keadilan negeri sebagai Anggota Dewan Negara.

Beliau juga berulang kali mengingatkan Anwar bahawa kuasa melantik TKM1 yang baru adalah haknya walaupun memberi peluang kepada Anwar untuk membuat pencalonan atas tanda setiakawan.

Banyak pemerhati berkata tindakan itu hanya "lakonan" kedua-dua pihak untuk menyembunyikan agenda masing-masing yang sebenarnya cuba mengatasi kemampuan satu sama lain.

-- BERNAMA

No comments: