Sunday, May 3, 2009

Rais Minta Semua Media Tonjol Kisah Kepentingan Manusia

"Ramai orang berkata bangsa Malaysia katanya mengikut kacamata pembangkang, ia hanya mimpi. Dalam hubungan itu, kita bukan nak menukarkan ras, kita hanya menyatukan masyarakat Malaysia ke arah perjuangan yang satu supaya kita kukuh dari segi ekonomi, keselamatan, pencapaian sosial termasuk budaya dan juga warna-warni perjuangan bersama kita diadunkan kepada satu fahaman yang membentuk masyarakat kuat Malaysia," katanya.

Bernama
3 Mei 2009


KUALA KLAWANG, -- Semua media di negara ini diminta supaya lebih banyak menonjolkan artikel dan kisah kepentingan sejagat manusia di tanah air.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata pada masa ini kebanyakan kisah di televisyen memaparkan tentang orang kenamaan atau pun apa saja yang disebut oleh individu tertentu, tetapi jarang melihat 'human interest' atau pun kepentingan sejagat manusia dalam negara ini.

"Misalnya kisah kejayaan pekebun kecil orang Cina di kampung baru yang mendapat bantuan Risda. Tetapi kisah itu langsung tidak tersiar. Atau contoh lain, satu masyarakat India berjaya memelihara berpuluh ekor kambing...cerita itu pun jarang kita lihat.

"Tetapi yang selalu ditumpukan ialah ucapan atau pun sesuatu yang diluahkan menerusi sosio politik sahaja. Bukan saya menyatakan kenyataan itu tidak penting...ia penting, namun stesen televisyen harus sedar kita membina masyarakat dan amalan yang sihat harus kita tonjolkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival ulang tahun ke-60 Kampung Baru Titi dekat sini, hari ini.

Katanya "Kita menilai setiap program itu mengikut aspek persoalan apa peranan yang dimainkan supaya masyarakat lebih tersohor dengan maklumat dan di samping itu dapat pula mendidik dan akhirnya menghibur masyarakat tersebut.

"Ketiga-tiga matlamat ini harus kita cantumkan supaya sesuatu program itu tidak membosankan dan pada masa yang sama masyarakat setempat merasakan bahawa mereka juga sebahagian daripada berita, rencana, program sosial, budaya, seni, warisan, pendidikan dan lain-lain lagi, katanya."

Sehubungan itu, beliau berkata kementeriannya sedang menilai semula setiap program yang berasaskan kemasyrakatan khususnya di RTM.

Rais yang juga Anggota Parlimen Jelebu berkata kementeriannya akan menganjurkan bengkel dengan ketua-ketua penyiar untuk mencari jalan dengan sasaran mempunyai nisbah yang sihat dari segi penonjolan kemajuan masyarakat Malaysia.

Sementara itu, katanya semua kegiatan untuk menerapkan konsep 1Malaysia sedang disusun supaya bukan saja Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang mempunyai jadual 1Malaysia ini, tetapi juga setiap jabatan kerajaan harus mempunyai peranannya masing-masing.

Di samping itu, katanya penjelajahan Jabatan Penerangan di daerah-daerah termasuk ke kampung wajar menyematkan mesej betapa pentingnya rakyat bersatu di bawah keutamaan perjuangan sebagai bangsa Malaysia.

"Ramai orang berkata bangsa Malaysia katanya mengikut kacamata pembangkang, ia hanya mimpi. Dalam hubungan itu, kita bukan nak menukarkan ras, kita hanya menyatukan masyarakat Malaysia ke arah perjuangan yang satu supaya kita kukuh dari segi ekonomi, keselamatan, pencapaian sosial termasuk budaya dan juga warna-warni perjuangan bersama kita diadunkan kepada satu fahaman yang membentuk masyarakat kuat Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

No comments: