Monday, July 20, 2009

Kematian Teoh jangan dipolitikkan

Soalnya benarkah Teoh Beng Hock jatuh dari tingkat 14? Ini pun belum dapat dipastikan. Ada orang berpendapat, jika seseorang jatuh dari tingkat 14 tentulah kepalanya berkecai. Adakah kepala si mati pecah berkecai? Apa pun hanya siasatan yang mendalam dan adil boleh memberikan jawapan. Setakat ini, apa jua yang disebarkan sama ada melalui internet atau perbualan di kedai kopi adalah teori yang hanya berasaskan syak wasangka yang sama sekali bercanggah dengan prinsip keadilan.


BASHIR AHMAD
20 Julai 2009

Kematian Teoh Beng Hock adalah satu tragedi.

Tragedi kepada keluarganya dan mereka yang rapat dengannya. Tetapi ia adalah tragedi yang lebih besar kepada negara disebabkan suasana penuh sangkaan buruk yang menyelubungi kematiannya.

Asas keadilan telah diruntuhkan oleh semua pihak yang membuat kesimpulan kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertanggungjawab terhadap kematian pembantu khas kepada seorang exco kerajaan negeri Selangor daripada parti DAP.

Sisatan belum pun bermula, apatah lagi inkues atau perbicaraan, tetapi DAP dan sekutu-sekutunya dalam pakatan pembangkang telah membuat kesimpulan bahawa SPRM bersalah. Kesimpulan dibuat hanya kerana suasana atau keadaan kematian yang berlaku selepas Teoh baru habis disoalsiasat di pejabat SPRM.

Asas keadilan ialah mana-mana pihak tidak boleh dianggap bersalah selagi tidak dibicarakan dengan adil dan perbicaraan mendapatinya bersalah. Kononnya, inilah tiang keadilan yang dlaungkan dan dituntut oleh pembangkang selama ini. Jika orang lain melakukan perkara yang sama, mereka akan kutuk dan serang habis-habisan.

Malangnya pihak pembangkang khususnya DAP telah menyalahkan SPRM ketika siasatan baru hendak dimulakan.

Pihak kerajaan termasuk Perdana Menteri sendiri telah memberikan jaminan bahawa kes ini akan disiasat dengan teliti dan saksama. Tiada yang boleh dan akan disorokkan. Malah siasatan oleh polis sedang giat berjalan. Maka janganlah membuat tokok-tambah kesimpulan.

Apa yang berlaku hanya memperjelaskan bahawa pembangkang cuba menangguk di air keruh dan mempolitikkan kes ini untuk mebangkitkan perasaan benci rakyat kepada kerajaan. Disebabkan kenyataan-kenyataan yang dilemparkan terhadap SPRM sangat keterlaluan, maka ada kalangan orang Melayu yang melihat kes ini sudah menjadi isu perkauman.

Biarkanlah proses penyiasatan berjalan dengan betul dan sempurna tanpa tekanan. Disebabkan kes ini telah menjadi perbualan hangat di seluruh negara, tiada sebab dan tiada jalan bagi mana-mana pihak untuk menyembunyikan kebenaran.

Penulis percaya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri juga mahukan kebenaran. Jika kebenaran disembunyikan, bahananya akan menimpa mereka dan kerajaan Barisan Nasional. Sebab itulah mereka sendiri secara terbuka turut mendesak kes ini disiasat sedalam-dalamnya.

Jika ada yang tidak kena di pihak SPRM, tiada sebab bagi pihak kerajaan untuk membela mereka. Jika kerajaan BN membela pihak yang tidak betul, mereka sendiri akan menghadapi hukuman yang lebih teruk daripada rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Tetapi amatlah tidak adil bagi pembangkang untuk menyemai atau bertindak atas premis syak wasangka bahawa SPRM adalah alat kerajaan. Maka selain menuduh SPRM bertanggungjawab ke atas kematian Teoh, juga mereka cuba menyalahkan kerajaan. Semasa institusi ini bergelar Badan Pencegah Rasuah (BPR) dulu, ia dituduh tidak adil dan menjadi alat kerajaan.

Setelah kerajaan sendiri mengubah BPR menjadi SPRM yang lebih bebas dan berkuasa, amatlah tidak wajar jika pembangkang terus menerus menuduh ia masih menjadi alat kerajaan. Jika berlaku kesalahan oleh mana-mana anggota SPRM, patutkan kesalahan itu dikaitkan dengan kerajaan yang dalam kes ini telah membuktikan bahawa mereka juga sangat terkejut dan prihatin dengan apa yang berlaku.

Malangnya sudah ada penulis blog pro pembangkang yang secara jelas menuduh anggota-anggota SPRM yang menyebabkan Teoh jatuh dari tingkat 14 bangunan pejabat SPRM Selangor.

Soalnya benarkah Teoh jatuh dari tingkat 14? Ini pun belum dapat dipastikan. Ada orang berpendapat, jika seseorang jatuh dari tingkat 14 tentulah kepalanya berkecai. Adakah kepala si mati pecah berkecai?

Apa pun hanya siasatan yang mendalam dan adil boleh memberikan jawapan. Setakat ini, apa jua yang disebarkan sama ada melalui internet atau perbualan di kedai kopi adalah teori yang hanya berasaskan syak wasangka yang sama sekali bercanggah dengan prinsip keadilan.

Elakkan kematian mendiang Teoh daripada menjadi tragedi yang lebih buruk kepada negara dengan tidak membuat sebarang kesimpulan berdasarkan sikap buruk sangka atau niat jahat untuk mendapat laba politik. - malaysiaaktif.com

No comments: