Friday, July 31, 2009

Perhimpunan haram hanya mencabuli hak asasi orang lain

PERHIMPUNAN haram boleh mencetuskan gejala negatif. Namun, ada pihak yang yakin perhimpunan seperti itu penting sebagai lambang kebenaran hak untuk bersuara. Kumpulan seperti ini biasanya tetap berkeras dan mahu kegiatan jalanan ini terus diadakan. Mungkin disebabkan tanggungjawab keselamatan tidak ada kaitan dengan mereka, maka mereka menganggap perhimpunan itu adalah baik untuk rakyat. Kumpulan ini tidak lagi menghiraukan undang-undang asalkan perhimpunan diadakan itu mendapat perhatian umum. Pada mereka apa yang dilakukan adalah dalam batasan demokrasi dan berlandaskan hak asasi manusia. Sama ada perhimpunan ini memberi manfaat kepada rakyat atau tidak, bukan isu utama.


Berita Harian
31 Julai 2009

PERHIMPUNAN haram boleh mencetuskan gejala negatif. Namun, ada pihak yang yakin perhimpunan seperti itu penting sebagai lambang kebenaran hak untuk bersuara. Kumpulan seperti ini biasanya tetap berkeras dan mahu kegiatan jalanan ini terus diadakan. Mungkin disebabkan tanggungjawab keselamatan tidak ada kaitan dengan mereka, maka mereka menganggap perhimpunan itu adalah baik untuk rakyat. Kumpulan ini tidak lagi menghiraukan undang-undang asalkan perhimpunan diadakan itu mendapat perhatian umum. Pada mereka apa yang dilakukan adalah dalam batasan demokrasi dan berlandaskan hak asasi manusia. Sama ada perhimpunan ini memberi manfaat kepada rakyat atau tidak, bukan isu utama. Penganjur gerakan seperti ini sanggup melakukan apa saja supaya perhimpunan ini berjaya diadakan. Jika dihalang, kerajaan dan pihak berkuasa akan dituduh tidak demokratik serta zalim. Kesan perhimpunan haram adalah nyata. Ia memberi masalah kepada banyak pihak. Rakyat sentiasa berasa takut untuk keluar. Mereka juga berasakan hak untuk ke mana-mana di negara yang merdeka cuba dinafikan kumpulan seperti ini. Dari segi keselamatan, perhimpunan seperti ini boleh mencetuskan peristiwa di luar kawalan. Di mana-mana sekali pun, perhimpunan darah boleh berlaku akibat perhimpunan haram. Hanya seorang punya angkara, ia boleh mencetuskan huru-hara.


Selain kesesakan lalu lintas, gangguan kepada peniaga, menyukarkan tugas pihak berkuasa dan pelbagai masalah lain, ia juga mencemar imej negara. Lebih buruk lagi jika berlaku ketegangan sehingga mencetuskan pergaduhan yang mengakibatkan kecederaan atau kematian. Sudah tentu semua pihak akan diheret dalam kemelut tidak berkesudahan. Kini, kita sekali lagi berdepan kemungkinan berlangsungnya satu lagi perhimpunan haram, esok. Lebih membimbangkan, kali ini ia dianjurkan dua pihak yang berbeza pendapat mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Satu pihak mahu berhimpun untuk mendesak kerajaan memansuhkan ISA, manakala satu lagi mahu ia dikekalkan. Perhimpunan membantah ISA dianjurkan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang diterajui pemimpin pembangkang, manakala yang mahu ia dikekalkan dibuat Majlis Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pembela Negara (Magaran) yang menaungi beberapa pertubuhan lain. Kedua-dua pihak bercadang mengadakannya di ibu negara, tetapi usaha juga dibuat supaya ia turut diadakan serentak di beberapa tempat lain.


Pihak berkuasa sudah mengeluarkan amaran bahawa tindakan tegas diambil terhadap sesiapa yang terbabit dalam perhimpunan itu. Polis juga menyatakan tidak akan mengeluarkan permit. Sesiapa yang ingkar dikenakan tindakan undang-undang. Anehnya, jika sebelum ini perhimpunan haram hanya diadakan satu pihak, kali ini membabitkan dua kumpulan dengan matlamat bertentangan. Perhimpunan kali ini boleh membawa risiko tercetus keganasan. Tiada sesiapa boleh memberi jaminan perhimpunan kedua-dua kumpulan itu bebas daripada provokasi. Kedua-dua kumpulan ini tidak mempunyai alasan untuk berhimpun kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah berulang kali menjelaskan kerajaan akan mengkaji sama ada untuk mengekal, merombak atau memansuhkan ISA. Mereka seharusnya bersabar dan jika mahu menyuarakan pendapat, ia mesti dibuat menerusi saluran betul, bukan perhimpunan haram. Sebagai negara yang berpegang kepada demokrasi, kita sentiasa menjunjung kebebasan bersuara dan hak individu. Bagaimanapun, jangan sampai amalan itu mengganggu atau mencabuli hak asasi orang lain.

No comments: